SINGAPURA: Mulai 1 Januari tahun depan, golongan majikan diwajibkan memberi para pekerja lelaki, cuti bapa atau cuti paterniti selama dua minggu, berbanding hanya seminggu sekarang ini.
Ini merupakan antara perubahan utama kepada Akta Simpanan Bersama Pembangunan Kanak-kanak (CDCA), yang diluluskan Parlimen hari ini.
Mengumumkan demikian kepada dewan, Menteri Sosial dan Keluarga, Tan Chuan-jin berkata, cuti minggu kedua itu akan dibiayai oleh pemerintah.
Ini bermakna, secara keseluruhannya, para bapa yang menimang cahaya mata baru juga boleh memanfaatkan sehingga lima minggu cuti tambahan.
KELONGGARAN BAGI SEBILANGAN BAYI YANG LAHIR SEBELUM 1 JAN 2017
Buat masa ini, majikan hanya dikehendaki memberi cuti paterniti selama seminggu dan seminggu lagi diberikan secara sukarela.
Cuti lebih panjang itu juga boleh dinikmati para bapa yang tarikh kelahiran anaknya dijangka berlaku selepas 1 Januari, namun bayi tersebut kemudian dilahirkan lebih awal.
Cuti dua minggu itu boleh diambil sekaligus dalam tempoh 16 minggu dari tarikh kelahiran anak ataupun dibahagi-bahagikan sepanjang tempoh 12 bulan.
AKHIRNYA, DAPAT NIKMATI CUTI BAPA
Encik Irwan Isnin, bapa kepada tiga orang anak, jelas mengalu-alukan perubahan baru itu.
Ini memandangkan anaknya yang keempat dijangka dilahirkan pada Januari tahun depan.
Menurut Encik Irwan, beliau tidak pernah menikmati cuti paterniti sebelum ini kerana ketiga-tiga anaknya dilahirkan sebelum cuti bapa diperkenalkan pada 2013.
Maka itu, cuti paterniti yang lebih panjang itu menjadi satu peluang baik untuknya memainkan peranan lebih aktif dalam penjagaan bayi, setelah dilahirkan.
“Sebab selama ini, saya tidak berinteraksi sangat dengan bayi. Saya setakat menolong tukar lampin, memberi susu kepada bayi. Mungkin saya akan dapat lebih berinteraksi dengan bayi saya kalau dapat cuti panjang ini,” kata Encik Irwan mengimbas pengalamannya sebelum ini.
SKIM CUTI YANG DIKONGSI IBU BAPA
Di samping cuti paterniti yang lebih panjang, Encik Irwan juga boleh menikmati cuti tambahan sehingga empat minggu berbanding seminggu sekarang, menerusi skim Cuti yang Dikongsi Ibu Bapa, mulai 1 Julai depan.
Bagaimanapun beliau memerlukan persetujuan isteri dahulu, yang hanya diberikan peluang sekali untuk berkongsi cuti sebelum usia anak mereka mencecah setahun. Keputusan itu juga tidak boleh diubah setelah dibuat.
Seperti cuti paterniti, cuti itu boleh diambil sekaligus ataupun secara fleksibel, jika diizinkan majikan.
HINGGA 8 MINGGU CUTI UNTUK BAPA
Dengan semua perubahan itu, para bapa kini boleh mengambil cuti sehingga lapan minggu dalam tahun pertama kelahiran bayi mereka.
Ini termasuk dua minggu cuti paterniti berbayar, empat minggu cuti yang dikongsi ibu bapa, enam hari cuti menjaga anak dan seminggu cuti tanpa gaji untuk menjaga bayi yang baru dilahirkan.
Bagi isteri Encik Irwan, Cik Norwani Shedek, perubahan-perubahan itu dapat banyak membantu dirinya, terutamanya dalam waktu-waktu kecemasan.
“Jika saya dalam keadaan tertekan, emosi, suami akan selalu ada di sisi saya dan membantu membimbing saya. Dan jika anak saya tengah sakit, sekurang-kurangnya dia ada untuk membantu saya,”ujar Cik Norwani.
BAPA ANGKAT JUGA NIKMATI FAEDAH CUTI PATERNITI
Semua perubahan itu juga akan dilanjutkan kepada para bapa angkat.
Cuti bagi ibu angkat juga ditambah daripada empat minggu kepada 12 minggu, mulai 1 Julai depan. Ia mesti diambil dalam tempoh 12 bulan dari tarikh kelahiran anak.
Mereka boleh mengambil cuti itu sekaligus atau mengambil cuti lapan minggu secara berturut-turut dan baki empat minggu lagi, secara fleksibel.
CUTI BERSALIN UNTUK WANITA TIDAK BERKAHWIN
Cuti ibu bersalin juga akan dilanjutkan kepada wanita yang tidak berkahwin, mulai 1 Januari depan.
Sementara itu, perubahan yang membolehkan para bapa mendapat cuti tambahan sehingga lima minggu itu disambut baik oleh Pusat Kebapaan.
Menurutnya, langkah itu menunjukkan Pemerintah akur tentang peranan penting yang dimainkan kaum bapa dalam membesarkan anak-anak.
Timbalan Naib Presiden pusat itu, Encik Ramlee Buang berkata: “Penyelidikan menunjukkan bahawa kehadiran dan juga penglibatan aktif seorang ayah memberikan beberapa kesan yang positif. Pertama, anak lebih minat dan cenderung dalam pelajaran. Kedua, mereka mempunyai harga diri yang baik. Ketiga, mereka mengelakkan kelakuan dan tabiat kurang baik.”
SUAMI LEBIH TERLIBAT, ISTERI LEBIH SEDIA TAMBAH ANAK
Encik Ramli menambah, kajian juga menunjukkan kaum ibu lebih bersedia mempunyai zuriat jika suami lebih melibatkan diri dalam penjagaan anak mereka.
Encik Ramlee bersama keluarga. (Gambar: Encik Ramlee)
Bagi menggalak lebih ramai bapa supaya lebih aktif dalam penjagaan anak-anak mereka, Encik Ramlee juga menyarankan supaya mereka diberikan pendidikan kebapaan sebelum menyambut cahaya mata masing-masing.
Syarikat-syarikat mesra bapa juga katanya, perlu diberi pengiktirafan bagi menggalak budaya mesra keluarga di tempat-tempat kerja.
KREDIT- BERITAMediacorp/nk