Pada hujung Julai yang lalu, saya telah mengunjungi rumah En Mior di PPR Seri Pantai. Ini setelah saya mendapat maklumat bahawa beliau, isteri, dan anak-anak serta kakak dan anak-anak semua tinggal di unit yang sama.
Difahamkan pada waktu itu mereka juga sebenarnya menyewa dari seorang penyewa unit Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dan membayar lebih 3 kali ganda sewa bulanan yang dikenakan DBKL. Skim ‘sewa atas sewa’ ini amat menekan terutama golongan miskin bandar seperti En Mior.
Beliau bekerja ‘part time’ sebagai event crew, dan beliau seorang yang menanggung kos sara hidup keluarga seramai 10 orang ini.
Ini antara sebab-sebab saya memilih keluarga ini sebagai keluarga angkat bagi pejabat saya.
Alhamdulillah dalam masa seminggu, pihak DBKL telah menyediakan surat tawaran sewaan unit rumah bagi En Mior sekeluarga di PPR Seri Cempaka.
Pihak Baitulmal juga telah turun sebelum ini untuk menyantuni keluarga En Mior, dan inshaAllah selepas ini akan turut membantu membayar sewa bulanan.
Hari ini saya sempat berbual dengan En Mior, dan beliau memaklumkan keluarga telah pindah ke unit baharu sepenuhnya, tetapi masih ada satu dua isu yang perlu bantuan. Beliau juga akan mendapat kerja tetap (masih dalam bidang event management) mulai awal tahun depan.
Saya dan Majlis Perwakilan Penduduk Zon Lembah Pantai serta rakan-rakan agensi kerajaan akan terus memantau dan memberi bantuan untuk pastikan keluarga ini akan dapat keluar dari kemiskinan.
Source: Fahmi Fadzil
0 Comments