Ibu bapa adalah anugerah yang paling terindah dalam hidup kita. Walaupun kita mempunyai harta setinggi gunung Kinabalu sekalipun tetapi kasih sayang ibu bapa terhadap kita melebihi dari semua itu. Tidak kiralah berapa banyak kejayaan yang kita kecapi, semua itu hasil doa dari kedua ibu bapa kita.
Namun begitu, dalam kita tidak sedar, ada tindakan kita yang membuatkan mereka berkecil hati dengan sikap kita. Disebabkan itu, mereka mula mengalirkan air mata dengan tindakan kita.
Dalam kita tidak sedar ada kata-kata kita yang telah menyinggung dan mengguris perasaan mereka. Ia menyebabkan kedua ibu bapa kita menangis dengan sikap kita.
Ada Beberapa Cara Yang Kita Boleh Gunakan Untuk Menghargai Ibu Bapa Kita
Walaupun, ada masanya ibu bapa kita sering memarahi kita, itu tidak bermakna kita boleh sesuka hati memarahi mereka balik. Ini kerana, mereka memarahi dan menegur anda kerana mereka sayangkan anda dan mahukan anda menjadi seorang insan yang berguna di dunia dan di akhirat.
Justeru itu, sebagai seorang anak kita perlu menghargai kedua ibu bapa kita. Ada beberapa cara untuk kita menghargai ibu bapa kita. Antaranya ialah:
1- Menggunakan Kata-Kata Yang Lembut
Walaupun kadangkala kita mungkin tidak bersetuju dengan keputusan ibu bapa kita, itu tidak bermakna kitab oleh bercakap kasar dengan mereka. Ini kerana, dengan kata-kata yang kasar akan menyebabkan mereka terguris hati dengan kita. Anda kena tahu, walaupun lidah kita lembut tetapi ia boleh menjadi lebih tajam dari pedang. Bukan itu sahaja, hanya dengan kita bercakap kasar kepada ibu bapa, boleh menyebabkan kita kehilangan keredhaan dari ibu bapa kita.
2- Gembirakan Hati Mereka
Kita selalu menggembirakan hati pasangan yang kita cintai. Tetapi pernah atau tidak kita menggembirakan hati ke dua orang tua kita??
Memang betul, tidak salah kalau kita menggembirakan hati pasangan kita tetapi dalam pada masa yang sama jangan lupa untuk menggembirakan hati kedua ibu bapa kita. Tak susah pun nak menggembirakan hati kedua ibu bapa kita, selain dari memberikan mereka hadiah, kita juga boleh meluangkan sedikit masa bersama dengan mereka.
3- Sentiasa Hubungi Mereka
Bagi yang tinggal berjauhan dengan kedua ibu bapa, anda juga boleh membahagiakan ibu bapa anda walaupun anda sibuk dengan kerja. Caranya, dengan sentiasa menghubungi mereka. Ini kerana, dengan cara ini sahajalah mereka dapat melepaskan rindu walaupun hanya mendengar suara anda.
Jadi, hubungilah mereka selalu. Kalau anda sanggup menghabiskan masa dengan menghubungi pasangan anda dalam tempoh masa yang lama, tak salah kalau anda luangkan tempoh masa yang lama untuk hubungi mereka.
4- Jangan Abaikan Mereka
Selain itu juga, satu lagi cara untuk menghargai ibu bapa anda adalah dengan tidak mengabaikan mereka. Selalulah bawa ibu bapa anda keluar bercuti, bawa mereka ke tempat yang mereka suka atau meraikan hari jadinya. Senang kata, ada sahaja masa lapang luangkan masa dengan ibu bapa anda supaya mereka juga merasa gembira.
Hargailah Kedua Ibu Bapa Kita Selagi Mereka Masih Hidup
Kesimpulanya, ibu adalah adalah harta yang paling mahal dalam hidup kita. Jadi, selagi mereka masih hidup dan selagi kita masih ada peluang, gembirakan hati mereka. Jaga mereka dengan sebaiknya kerana, setiap kejayaan kita adalah hasil doa mereka. Bayangkan tanpa doa mereka apa yang akan terjadi pada hidup kita.
0 Comments